Sunday 23 October 2011

Pengenalan Tatabahasa

      
        Tatabahasa ialah bidang yang menumpukan perhatian terhadap pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan. Murid harus mengetahui dan berkeupayaan untuk berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul dan tepat samada dalam bentuk lisan ataupun penulisan.Pengajaran aspek tatabahasa secara terancang dan sistematik akan dapat membantu pelajar seterusnya melahirkan pelajar yang mahir dalam penggunaan tatabahasa.

       Tatabahasa boleh diajar dalam pelbagai bentuk dan cara. Oleh itu, para guru perlulah kreatif untuk memilih kaedah pengajaran yang menarik supaya dan menarik minat murid. Pada masa yang sama, ia juga memberi kesan yang positif kepada murid-murid.   Di dalam blog ini, saya telah masukkan dua pembentukan kata iaitu kata tanya dan tanda baca. Diharap ianya dapat membantu semua murid dan memberi banyak manfaat kepada mereka. 

Isi Kandungan

Tajuk "Kata Tanya dan Tanda Baca"

1. Kata Tanya: 
  • Definisi Kata Tanya
  • Jenis-jenis Kata Tanya
2. Tanda Baca:
  • Definisi Tanda Baca
  • Jenis-jenis Tanda Baca

Kata Tanya

Kata Tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu. Di hujung ayat tanya hendaklah diletakkan tanda tanya (?) manakala kata tanya di hadapan ayat tanya biasanya disertai partikel -kah.

Contoh:-
  1. Apakah: untuk menanyakan benda,binatang atau perkara
  2. Siapakah: untuk menanyakan orang
  3. Berapakah: untuk menanyakan bilangan
  4. Bilakah: untuk menanyakan masa
  5. Adakah: untuk menanyakan "sama ada" atau "tidak"
  6. Mengapakah/kenapakah: untuk menanyakan sebab
  7. Bagaimanakah: untuk menanyakan keadaan atau cara melakukan sesuatu
  8. Mana: untuk menanyakan tempat
Contoh ayat yang boleh dibina melalui kata tanya:-
  1. Apakah nama kucing kamu?
  2. Siapakah Perdana Menteri Malaysia kita yang keenam?
  3. Berapakah jumlah murid di dalam kelas itu?
  4. Bilakah awak akan bertolak ke Kuala Lumpur?
  5. Adakah dia pelajar cemerlang di dalam sekolah ini?
  6. Mengapakah sang arnab kalah kepada sang kura?
  7. Bagaimanakan awak pergi ke sekolah?
  8. Di mana rumah awak?
LATIHAN 
Pilih kata tanya yang betul.
  1. Bas yang ___________kah bas sekolah kamu?
  2. ________kah yang akan kalian akan buat selepas peperiksaan UPSR?
  3. ________kah Tahun Baru Cina disambut?
  4. ________kah guru Bahasa Cina kamu?
  5. ________kah cara untuk membuat kuih raya?
  6. ________kah kamu seorang pelajar yang baik?
  7. ________kah jumlah adik-beradik kamu?
  8. ________kah adik selalu dimarahi oleh ibu?




Tanda Baca

Tanda Baca ialah tanda dalam ayat-ayat yang mempunyai maksud tertentu.

Contoh:-

  1. Huruf Besar: digunakan bagi huruf pertama pada permulaan ayat dan huruf pertama bagi kata nama khas.
  2. Noktah(.): digunakan di hujung ayat untuk menunjukkan ayat itu sudah lengkap, memisahkan ringgit dan sen serta untuk kependekkan.
  3. Koma(,): digunakan bagi mengasingkan kata-kata dalam golongan yang sama.
  4. Tanda tanya(?): digunakan pada akhir ayat untuk menanyakan sesuatu.
  5. Tanda seru(!): digunakan pada akhir ayat seruan untuk menunjukkan sesuatu perasaan.
Contoh ayat yang dibina dengan menggunakan Tanda Baca:-
  1. Ayah saya bekerja sebagai doktor. (huruf "A" ditanda sebagai Huruf Besar)
  2. Mengapakah dia dipukul oleh ibunya? (tanda tanya digunakan pada akhir ayat tanya)
  3. Guru besar sekolah saya ialah Encik Abu. (tanda noktah pada akhir ayat)
  4. Berhenti! (digunakan pada akhir ayat seruan)
  5. Ibu membeli ikan, ayam, sayur dan daging di pasar. (tanda koma digunakan untuk mengasingkan kata)
LATIHAN:-
Tandakan "B" bagi ayat yang menggunakan tanda baca yang betul dan huruf besar dan tanda "S" bagi ayat yang salah.
  1. ibu saya kini berumur 37 tahun.                                            (    )
  2. Encik Rashid dan Encik Raju adalah rakan sekerja.              (    )
  3. Ali menamakan kucingnya Si Bunga.                                    (    )
  4. Aduh, sakitnya kaki saya!                                                    (    )
  5. Bilakah kamu akan berpindah?                                            (    )
  6. Encik halif adalah pekerja di sebuah syarikat yang besar.      (    )
  7. Guru Kelas tahun 2 saya ialah Puan Chin.                             (    )
  8. Uncle Sam ialah jiran saya!                                                  (    )